Sabtu, 29 Disember 2012

Tuntutan Berserban

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Memetik tulisan Syeikh Idris Al-Marbawi dalam Bahrul Mazi:


"Memakai serban itu dipuji akan dia oleh syarak kerana ia satu pakaian kita. Maka kita mengikut apa perbuatan Nabi itu lebih baik daripada menurut lainnya, kerana ialah turutan kita dan ikutan kita".

Syeikh Idris al-Marbawi

Memakai serban adalah satu sunnah yang sukar diamalkan bagi lelaki sekarang ini. Mungkin bagi pelajar aliran agama atau sekolah pondok mereka agak terbiasa, tetapi bagi orang kebanyakan pemakaian serban adalah sesuatu  yang berat untuk diamalkan. Mungkin kerana dilihat terlalu alim atau sesetengahnya memandang dari sudut negatif .

Sebenarnya tidak sesukar mana jika benar mahu mengikut sunnah Nabi Muhammad yang mulia ini. Mulakan dahulu didalam rumah dengan menunaikan sembahyang secara berserban. Benar lama kelamaan kita akan berasa selesa, lebih berkeyakinan dan ikatan akan menjadi semakin kemas. Ada hadis yang menyatakan sembahyang dengan berserban adalah fadhilatnya sehingga 25 kali ganda. Orang yang berserban juga akan kelihatan segak menawan selain beroleh pahala.




Berserban boleh dengan pelbagai cara tetapi prinsipnya mestilah dengan cara melilit pada kopiah/ketayap/tarbus dll. Baginda Nabi pernah diriwayatkan memakai serban berwarna putih, hijau dan hitam. Bentuk serban berbeza mengikut fahaman, tariqat, tempat dan panjang kain.

Walau apa pun jenis serban yang dipakai, pasangkan niat dalam hati semata-mata untuk mengikut sunnah Nabi. Kerana tanpa niat yang betul kita tidak ada bezanya dengan masyarakat arab jahiliyah, orang nasrani dan juga bangsa singh yang turut berserban dengan cara masing-masing!!!

Rabu, 26 Disember 2012

Inilah Hasilnya Kalau Mengetut


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Sudah lama menunggu ranting pokok mata kucing yang ditutkan mengeluarkan akar-akar kehidupan. Makan masa berbulan-bulan juga. Walaupun begitu, membiak pokok melalui kaedah tut (marcotting) sesuai bagi mereka yang kurang berkelapangan kerana proses penyemaian boleh dilambatkan dahulu sementara menunggu akar baru terbentuk.

Kerja-kerja pemindahan ke dalam polibeg semaian sempat dilakukan pagi tadi......

Ini adalah pokok induk mata kucing, lebih dikenali di kampung sebagai daun sepuluh dan juga mata kucing pingpong.

Tahu tak mengapa ianya dipanggil daun sepuluh? Cuba kira bilangan lai daunnya. Sepuluh kan?

Ranting yang telah berbulan ditut ini menunggu masa untuk dipotong

Terdapat 3 ranting yang sudah agak panjang. Akar sudah mulai tumbuh dalam gumpalan balutan tanah tersebut

Isikan plastik polibeg 1/3 penuh dahulu dengan topsoil. Lepas itu barulah masukkan ranting pokok (buang plastik balutan dan pastikan gumpalan tanah tidak pecah).

Isikan tanah sehingga penuh. Tanah perlu dimampatkan agar ranting lebih stabil dan tiada ruang udara. 

Insyaallah kalau mula berpucuk nanti, jadilah kau habuan saudara-mara terdekat.......

Ahad, 16 Disember 2012

Just Remembering


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Di kala tengah malam buta ni, sambil-sambil buat assignment, aku buka fb untuk mengelakkan keboringan. Dalam dok scroll down tu jumpa satu gambar yang senior post-kan. Nampak gambar ni.......  



Mereka semua adalah pensyarah-pensyarah senior DPIM Arau. Yang pernah mengajarkan aku dan ramai ex-dpim suatu ketika dahulu. Terasa keberkatan bersama mereka......
Melihat wajah mereka sahaja, teringat kembali segala kenangan dan jasa yang telah mereka curahkan. Merekalah nadi kepada DPIM Arau......

Semoga Allah sentiasa merahmati dan melindungi mereka........


# Gambar dari kanan: En Yazid, Prof Malik, Prof Rashid, En Said, En Razak dan Prof Satar.

Selasa, 11 Disember 2012

Tajuk FYP Dah Keluar


Tajuk Projek Tahun Akhir (FYP) dah keluar. Petang tadi. Terlalu banyak pilihan yang menarik sehingga tak tahu mana yang patut dipilih.
Yang penting bukan jabatan tanah......hahahahaha

Setelah disenarai pendek, mungkin pasal entomologi atau breeding.
Kena buat istikharah dulu kalau macam ni. Minta Allah tunjukkan jalan.

Ahad, 9 Disember 2012

Mali2x, Ikan Manyak Mulahh Ooo....


Hadis Nabi ada menyebut tentang hak badan, mafhumnya "Sesungghnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap badan kamu". Maka dengan itu, bersempena dengan hujung minggu ini, aku pun menunaikan hak kepada badan untuk berjalan-jalan di sekitar Pasar Road, Kuala Lumpur. ~kih3x~ 

Apa benda yang menarik sangat di Pasar Road? Tak lain tak bukan adalah perniagaan ikan hiasan yang dijual di kiri dan kanan jalan. Harga ikan disini jauh lebih murah berbanding yang dijual di kedai ikan hiasan lain. Sebagai contoh, ikan jelawat diluar sana berharga RM4.00 seekor, tetapi di sini berharga RM1.00 je seekor. Fuhhhh..... 



Pasar Road sangat istimewa bagi penggemar ikan hiasan. Memang tidak asing lagi bagi mereka yang tinggal di sekitar KL ni. Bukan sekadar ikan sahaja, malah segala aksesori akuarium juga mudah didapati disini, dengan harga yang murah. 
Pasar ini dibuka setiap hari seawal jam 9 pagi sehingga 6 petang. Pertama kali sampai tadi (Wanli punya kerja lah ni), memang sangat mengujakan!!! Insyaallah, lain kali boleh datang lagi kalau ada kesempatan.

Aik, letak dalam besen je ikan emas ni?  

Semacam dengan kedai barang runcit

 Pokok kiambang pun ada jual, dan lain-lain pokok hiasan.

 Pelbagai aksesori akuarium seperti pam air dan makanan ikan ada tersedia.

Siap dibungkus, kebanyakan spesis yang sukar ada dalam pasaran

Deretan kedai-kedai yang menjadi tumpuan pengunjung



Khamis, 6 Disember 2012

Betul ke Durian UPM Terbaik?

UPM berbangga dengan duriannya. Banyak kali sebelum ini UPM bilang durian dari ladang mereka adalah yang baik-baik sahaja. Hanya klon yang terbaik saja yang ditanam seperti D2 dan D24.

Tapi yang berlaku sebaliknya.

3-4 hari lepas aku beli durian di Pusat Jualan UPM. Punya lah mahal RM6.00 sekilo untuk gred A. Padahal semester lepas harga untuk gred yang sama hanyalah RM4.00 sekilo. Dalam masa sama di MAHA harga sekilo durian hanyalah RM5.00. Buah durian kat sana jauh lebih sedap dan manis.

Mereka langsung tidak mengasingkan durian yang elok dengan yang busuk. Dilonggokkannya pada satu tempat.  Dalam longgok itu semua buah ada. Buah yang pecah, yang kehitaman, rosak dan gred bercampur-campur.

Ada juga sama-sama durian yang aku beli tu D24. Tapi tak sama dengan D24 yang MAHA jual. Rasanya kurang manis dan sedikit mangkar.  Buah yang lain pun ada yang keras.

Bukannya nak kondem UPM, tapi dah tahu buah kurang baik, jual murah-murah sudahlah sama student. Barulah saranan TNC ini dapat dicapai.

Isnin, 3 Disember 2012

Nuklear Untuk Pertanian?

Siapa kata bidang pertanian suatu bidang yang sempit dan tidak berdaya maju? Buktinya Agensi Nuklear Malaysia sendiri melalui Bahagian Agroteknologi dan Biosains giat mempelopori kajian dalam sektor pertanian negara pada masa kini.

Petang tadi kami mengikuti lawatan ke agensi tersebut bersama-sama dengan Prof Madya Dr. Norsida Man selaku Pensyarah Pengembangan Pertanian.  Agensi Nuklear Malaysia terletak di Bangi.

Pelik juga mendengar pada mulanya, apa pula kaitan nuklear dengan pertanian? Setelah penerangan diberikan oleh Pengarah  Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Dr. Khairuddin Abd Rahim, tiga perkataan yang melekat di kepala ini ialah mutagenesis, radiasi dan isotop.

Walaupun aku kurang faham (sebab banyak sangat istilah sains nuklear), tapi ada beberapa kajian mereka yang sangat menarik. Misalnya, pembiakbakaan tumbuhan secara mutagenesis untuk memperbaiki kualiti tanaman. Dos sinaran mengion gamma yang tertentu akan dikenakan kepada sesuatu tanaman untuk mendapatkan ciri baik mutan yang dikehendaki (dengan mengubah ciri genetik). Sebagai contoh daripada kajian mutagenesis, mereka berjaya menghasilkan padi aerob MR219.

Persoalan kini, adakah kaedah pembiakbakaan tumbuhan secara konvensional yang dilakukan pada masa sekarang perlu ditukar kepada kaedah mutasi aruhan? Kerana kaedah mutasi gen secara aruhan tidak memerlukan masa yang lama berbanding cara konvensional.

*Masa balik singgah gerai durian tepi jalan. Dr Norsida belanja satu kelas melantak durian. Apa nak kata....terima jer lah

Jumaat, 30 November 2012

Hatcheri Ikan En. See

Alhamdulillah, pada 29 November 2012 sekali lagi kami diberi kesempatan untuk mengadakan lawatan untuk subjek Teknologi Pembenihan Ikan dan Pengurusan Fri.  Kali ini kami berkunjung pula ke hatcheri milik individu persendirian. Hatcheri tersebut adalah kepunyaan En. See yang terletak di Rawang. 


Hah, inilah taukehnya, En. See.

Sebenarnya, En. See atau nama penuhnya See Quar Har telah 30 tahun membuka hatcheri tersebut. Banyak spesis ikan air tawar dihasilkan disini termasuklah spesis ikan yang sukar untuk didapati di pasaran seperti temoleh, jelawat, tapah, kelah, tinggalan dan lain-lain. Pendek kata apa sahaja ikan yang mendapat permintaan pelanggan, hatcheri beliau akan hasilkannya. 




Hatcheri yang serba ringkas tetapi produktif

Jika dibandingkan dengan hatcheri Jabatan Perikanan, hatcheri En. See adalah amat terhad dari segi tempat dan peralatan yang digunapakai. Pun begitu, beliau menggunakan segala sumber secara optimum untuk meningkatkan lagi jumlah pengeluaran anak benih ikan.  


Banyaknya anak tilapia

Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan anak benih ikan, bolehlah datang sendiri ke hatcheri beliau yang beralamat (seperti dalam kad perniagaan beliau) iaitu Three Ocean Fish Pond & Trading Sdn.Bhd, Jalan Batu Arang, Sungai Bakau, Rawang, Selangor. 


                          
     Patin albino                                                                                   
   

      Puyu emas



                     
     Temoleh        

     
   Patin







Selasa, 27 November 2012

God Knows Best


God knows what's best for us, 
so why should us complain.
We always want sunshine,
But He knows there must be rain


We always want laughter,
 and the merriment of cheer, 
But our heart often lose their tenderness,
 if we never shed a tear.


God tests us often, 
with suffering and with sorrow
He tests us not to punish us, 
but to help us meet tomorrow.

For growing trees are strengthened,
 if they can withstand the storm, 
and the sharpness of the chisel,
 gave the marble its grace and form.


God tests us often,
 and for every pain he gives us, 
provided we are patient, 
is followed by rich gain.



So, whenever we feel that,
 everything is going wrong,

It is just God's way,
 to make our spirit strong. 


This kind of poem I was found written in the BEL text book entitled Discovery English used during the old diploma's day. Actually I don't know this poem belongs to whom.  After had some googling, I found another version of poem that similar with but has a few amendments and quite so long by Helen Steiner Rice. 

No wonder who was him, the most important thing that I want to share is about the content of the poem. Honestly I tell you, the poem give me some inner spirit and motivated myself, especially when I feel hopeless and no chances gain.  Truly, all of these were in Allah's knowledge when He assigned Qada' and Qadar to everybody of us.

Let it be the foremost and utmost inspirational poem.........




Jumaat, 23 November 2012

Melawat PPA Bukit Tinggi



 PPA Bukit Tinggi

Petang tadi kami berkesempatan mengadakan lawatan ke Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi, Bentong, Pahang Darul Makmur. Walaupun terletak dalam negeri Pahang, namun lokasinya tidak jauh dari sempadan Selangor dan Pahang. Melalui Lebuhraya KL-Karak, selepas sahaja terowong Karak dan R&R Genting Sempah, di sebelah kirinya kita akan kelihatan pusat ini yang berada di bawah lembah sana.

Orang kuat Jabatan Perikanan, En. Johari Daud.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan yang sebenar kepada para pelajar mengenai apa sebenarnya yang berlaku di lapangan. Lawatan ini lebih kepada mempelajari kaedah pengurusan hatcheri  ikan air tawar.
Menurut Ketua PPA Bukit Tinggi, En. Johari Daud, pusat ini dibuka pada tahun 1960. Dahulunya ia dikenali sebagai Pusat Perikanan Air Tawar. Pusat ini menjalankan dua fungsi, iaitu membekalkan anak benih ikan dan memberi tunjuk ajar pengurusan sesebuah hatcheri. Terutama bagi sesiapa yang baru hendak memulakan projek. Kursus jangka pendek juga turut diberikan secara percuma melalui Latihan Sangkut.

Induk diasingkan terlebih dahulu supaya kerja memungut anak ikan menjadi lebih mudah 

PPA Bukit Tinggi hanya memfokuskan pengeluaran anak ikan tilapia, keli, lampam sungai dan lampam jawa. Ia berupaya mengeluarkan lebih 2 juta fri setahun. Nilai ini jauh berkurangan berbanding permintaan semasa benih ikan. Fri ikan yang dihasilkan disini tidak dijual, sebaliknya diberikan secara percuma kepada para penternak ikan kecil-kecilan yang mendapat bantuan dari Jabatan Perikanan. Lebih spesifik, pengeluaran benih ikan ini dibekalkan kepada penternak merangkumi penternak di Selangor, negeri-negeri pantai timur dan selatan Semenanjung.

Pensyarah kami, Dr. Annie dan En. Johari


 Para pelajar subjek Teknologi Pembenihan Ikan dan Pengurusan Fri. 10 0rang je satu kelas.


Bye2 semua. Kami balik dulu....

Selasa, 20 November 2012

MAHA 2012: Tumpang Iklan

Banyak dasar dan polisi kerajaan yang aku tak setuju. Tapi banyak juga apa yang kerajaan buat aku setuju. Salah satunya yang aku sangat bersetuju adalah penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agrotourism Malaysia (MAHA). Mungkin kena dengan citarasa aku kot....hahaha. Ni siap nak tolong promosi lagi.

MAHA International 2012 akan berlangsung 3 hari lagi yang bakal diadakan selama 10 hari. Banner iklan dah pun beberapa hari nampak dipasang. Seingat aku kalau tak silap, ini MAHA yang ke-5 pernah dianjurkan. MAHA 2012 ini digabungkan sekali dengan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK). Butirannya adalah seperti berikut:


                           TARIKH     : 23 November 2012 - 02 Disember 2012
                           MASA        : 10 a.m hingga 10 p.m
                           TEMPAT    : MAEPS Serdang, Selangor




Banyak banner yang digantung pada tiang lampu sepanjang jalan Persiaran MARDI-UPM



Salah satu banner disangkut dipagar



Persiapan jalan masuk utama giat dijalankan


Kalau dari UPM, belok kanan.......Mai jangan tak mai


Makin Menjadi-Jadi Dengan Pengembangan


Itulah yang dapat aku katakan dalam masa beberapa hari ni. Seolah-olah pengembangan berada di sekeliling aku saja.

Mana kan tidak.....
Pagi anjur seminar,
Petang present public speaking,
Pagi lain dengar seminar pengembangan,
Petang dengar seminar pengembangan lagi.

Minggu lepas tolong member buat kerja pengembangan dengan orang kampung...

Aii, takkan aku nak keja extension kot, tu bukan selayaknya bidang aku. Sebab tadi ni aku dapat tangkap satu hint yang penceramah cakap, sesiapa nak jadi ejen pengembangan, dia kena la buat-buat menyibuk diri (buat kalut orang utara kata). Aku bukannya jenis tu sangat.

Penceramah tu kata lagi: "Kita ni juga sebenarnya adalah ejen pengembangan, tetapi tidak secara rasmi. Pengembangan ini adalah ilmu untuk merubah manusia. Tidak semestinya pengembangan hanya melibatkan pertanian."

Pendek kata aku tak boleh excused sebab aku juga salah seorang ejen pengembangan walaupun tak rasmi.


Khamis, 8 November 2012

Menuai Salad


Salad-salad yang ditanam ini menggunakan kaedah hidroponik. Ia dibawah projek pelajar. Tiada semburan bahan kimia dilakukan. Pesticide free.....

Projek pelajar

Daun salad yang kerekot akan dibuang ketika proses menggred dijalankan nanti

Salah seorang penanam salad yang berjaya


Pelajar ramai-ramai menggred dan menimbang salad. Seterusnya di bungkus kemas.



Jom Buat Makanan Anak Ikan


Mudah je nak buat makanan untuk anak-anak ikan ni. Bahan-bahannya adalah:


Soy meal 

Corn meal

Fish meal



Jadikan kesemua ramuan 100% (100g) untuk memudahkan pengiraan.


Fish meal                = 16.71 g
Soy meal                = 44.32 g
Corn meal              = 14.30 g
Tapioca flour          = 20 g
Vitamin premix       = 1 g
Mineral premix       = 1 g
Vegetable oil          = 2.86 ml@g


Gaulkan kesemua bahan-bahan diatas dengan air sebanyak 40%. Lepas sebati masukkan campuran ke dalam mesin yang dipanggil Pelletizer.


Ha, kan dah jadi tu. Tapi pellet yang dihasilkan ini jenis yang tenggelam (sinking pellet). Lepas tu keringkan dalam oven.

Sesuai untuk anak-anak ikan keli yang berusia sebulan ke atas.

Rabu, 7 November 2012

Kan senang kalo dapat masuk AYS


Apa yang Asrama bagi kat aku selama aku disana? Ouh, banyak.....

KEMUDAHAN ASAS:

Dorm yang selesa.
Katil, tilam, bantal.
Sarung bantal, selimut dan cadar yang didobi setiap bulan.
Pakaian sekolah (baju, seluar, tie, kasut, songkok, stokin, baju melayu, sampin). Seorang 2 pasang setiap tahun. Jika sudah tak padan, koyak dan sebagainya boleh minta baru kat Pak Man.
Surau.

KEWANGAN:

Duit saku sebulan RM40.00. Kalau lebih, nak simpan boleh masuk bank.
Yuran sekolah.
Yuran tuisyen kepada sesiapa yang nak bertuisyen.
Duit raya sekali-sekala.
Duit zakat atau sedekah dari penderma yang pemurah.

PELAJARAN

Pilih saja sekolah yang mahu. Yuran penuh akan dibayar.
Kelas mengaji al-Quran setiap hari.
Kuliah maghrib seminggu sekali.
Alat-alat tulis dan buku.
Tuisyen kat dalam dan luar asrama.
Bilik bacaan

KEBAJIKAN

Makan percuma 5 kali sehari.
Rawatan perubatan percuma kat Klinik Ehsan @ Klinik Dr Wan Balkis
Pengangkutan ke sekolah dengan van asrama. Pak Leh sebagai pemandu. Kalau malam pula Pak Ya akan ganti.
Sekolah berdekatan pergi dengan basikal mini.
Juga ada mesin basuh 2 biji, drier 1 (tapi selalu rosak), seterika.
Padang bola sepak dan gelanggang takraw
Meja ping pong
TV


LAIN-LAIN

Baju asrama dan baju melayu percuma
Lawatan (jarang2 skali. Itu pun sebab ada SUKYA dengan MTQ)
Boleh balik 2 minggu sekali.
DLL.

Terima kasih ASRAMA YAYASAN SAAD!!!

Rabu, 31 Oktober 2012

Padi Kebal


Padi kebal adalah padi yang tahan kepada racun imidazolinone, digunakan untuk mengawal padi angin. Ia berasal dari varieti padi MR220 yang dimajukan. Proses kacuk balik beberapa generasi diantara MR220 dengan baka padi 1770 yang berasal dari Amerika Syarikat  menghasilkan padi jenis Clearfield varieti MR220 CL1 dan MR220 CL2 yang toleran kepada  imidazolinone.

Penyelidikan mengenai padi kebal dijalankan secara bersama oleh MARDI dan syarikat racun BASF. Bacaan lanjut mengenai padi kebal ini boleh dibaca di SINI.  

Musim padi kali ini boleh dikatakan kebanyakan pesawah di Perlis/Kedah yang mengalami masalah padi angin menggunakan padi kebal ini. Sebenarnya pada musim lepas lagi memang sudah ada pesawah menggunakan padi ini, tetapi tidak ramai kerana bekalan benih yang terhad dan harganya pula mahal. 

Ramai pesawah turut bercakap mengenai pro dan kontra mengenai padi ini. Bagi membuktikan segala dakwaan berasas, maka ramailah dari kalangan mereka ingin cuba menanam pada musim ini dengan memberi nama dan mengisi borang kepada PPK atau MADA untuk mendapatkan benih padi kebal.

Bahagian hadapan karung guni. Jelas tercatat perkataan 'Clearfield' dari varieti MR220 CL2 (bukan nak promosi gambar dacing tu).

Para petani perlu membeli benih padi kebal beserta racun OnDuty yang didatangkan secara pakej. Jika pokok padi dari varieti biasa misalnya MR219 terkena semburan racun rumpai ini, padi tersebut turut sama akan mati. Oleh itu proses penyemburan racun kimia ini perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak dibawa angin sehingga terkena padi sebelah yang bukan jenis Clearfield. 

Panduan penggunaan di bahagian belakang guni.

Beberapa panduan dalam penggunaan benih padi kebal beserta racun ada dicatat di bahagian belakang guni bagi memudahkan rujukan petani. Ia ditulis dalam bentuk arahan yang mudah difahami oleh mereka. Misalnya,        

"Pastikan air sawah cap-cap semasa menyembur"

Anda faham?? 

Berkenaan kesan sampingan yang mungkin timbul apabila beras di jadikan makanan, saya tidak dapat pastikan. Risau juga kalau-kalau ada petani terlebih sukatan racun daripada dos yang disyorkan.


Racun OnDuty keluaran syarikat BASF. 

OnDuty adalah nama dagangan racun yang dikeluarkan oleh BASF. Racun ini berasal dari keluarga kimia  imidazolinone dan terdiri dari 2 jenis bahan aktif iaitu imazapic dan imazapyr.  Racun ini bertindak secara perencat Acetolactate synthase (ALS). Dalam posting berikutnya nanti Insyaallah saya akan terangkan secara ringkas apa itu ALS dan cara tindakannya......

Isnin, 29 Oktober 2012

D190:D159: D24:D99 vs D2

D190 (MDUR88)

Klon MDUR88 merupakan salah satu klon durian hibrid selain MDUR78 dan MDUR79. Klon-klon tersebut dihasilkan oleh MARDI. D190 ini terhasil dari program peningkatan kualiti dan hasil MDUR79. Kulit D190 berwarna hijau. 


D159 (Monthong/Bantai Mas)

Sepertimana dalam gambar yang saya ambil di atas, kulit durian D159 pada beberapa pokok memang berwarna kekuningan. Saya pun tidak pasti samada itu memang warna asalnya ataupun tidak. Durian klon ini banyak terdapat di kawasan utara Semenanjung kerana ia lebih tahan kepada iklim panas. Saya pernah tanam klon ini, tetapi mati kemudiannya. 

D24 (Bukit Merah)

Klon ini sangat terkenal di seluruh negara. Walaupun terdapat klon baharu seperti Musangking, D24 masih lagi mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar. Buahnya mempunyai duri yang tajam dan bersusun rapat. Buah bujur dan bersaiz agak besar. 

D99 (Kop Kecil@ Kancing Baju)

Buahnya sangat lebat jika hendak dibandingkan dengan saiz pokok yang kecil. Memang tidak padan. Tapi itulah kelebihan D99. Pokok berbuah lebat. Sebab itulah D99 sering dijadikan pokok induk (untuk dikacuk) dalam penghasilan beberapa klon baru, supaya sifat lebat dan rajin berbuahnya diturunkan kepada progeni. Buahnya kecil. 

D2 (Dato' Nina)

Buah durian D2 bulat membujur. Isinya bermutu tinggi dan berwarna ke-orengan. Saya pernah merasainya. Terbukti ia memang sedap dan lemak berkrim. Errmmmm.........sedaaaaap. Setakat ini bagi saya klon D2 adalah klon terbaik yang pernah saya rasa. Saya bagi 5 bintang ++. Tapi sayangnya orang jarang tanam klon ini kerana buahnya tidak lebat dan susah pula dibuka. Klon ini juga saya pernah tanam, tetapi mati juga akhirnya. (Maaf, gambar di atas kurang jelas kerana pokok tinggi).

Anda Juga Mungkin Meminati: