D190 (MDUR88)
Klon MDUR88 merupakan salah satu klon durian hibrid selain MDUR78 dan MDUR79. Klon-klon tersebut dihasilkan oleh MARDI. D190 ini terhasil dari program peningkatan kualiti dan hasil MDUR79. Kulit D190 berwarna hijau.
D159 (Monthong/Bantai Mas)
Sepertimana dalam gambar yang saya ambil di atas, kulit durian D159 pada beberapa pokok memang berwarna kekuningan. Saya pun tidak pasti samada itu memang warna asalnya ataupun tidak. Durian klon ini banyak terdapat di kawasan utara Semenanjung kerana ia lebih tahan kepada iklim panas. Saya pernah tanam klon ini, tetapi mati kemudiannya.
D24 (Bukit Merah)
Klon ini sangat terkenal di seluruh negara. Walaupun terdapat klon baharu seperti Musangking, D24 masih lagi mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar. Buahnya mempunyai duri yang tajam dan bersusun rapat. Buah bujur dan bersaiz agak besar.
D99 (Kop Kecil@ Kancing Baju)
Buahnya sangat lebat jika hendak dibandingkan dengan saiz pokok yang kecil. Memang tidak padan. Tapi itulah kelebihan D99. Pokok berbuah lebat. Sebab itulah D99 sering dijadikan pokok induk (untuk dikacuk) dalam penghasilan beberapa klon baru, supaya sifat lebat dan rajin berbuahnya diturunkan kepada progeni. Buahnya kecil.
D2 (Dato' Nina)
Buah durian D2 bulat membujur. Isinya bermutu tinggi dan berwarna ke-orengan. Saya pernah merasainya. Terbukti ia memang sedap dan lemak berkrim. Errmmmm.........sedaaaaap. Setakat ini bagi saya klon D2 adalah klon terbaik yang pernah saya rasa. Saya bagi 5 bintang ++. Tapi sayangnya orang jarang tanam klon ini kerana buahnya tidak lebat dan susah pula dibuka. Klon ini juga saya pernah tanam, tetapi mati juga akhirnya. (Maaf, gambar di atas kurang jelas kerana pokok tinggi).