Khamis, 14 Februari 2013

Syeikh Idris al-Marbawi, Satu Dalam Berjuta


Gambar ketika beliau masih muda yang terdapat dalam Kamus al-Marbawi

Nama Muhammad Idris bin Abdul Rauf mungkin kurang dikenali. Namun jikalau disebut Syeikh Idris al-Marbawi sahaja sudah tentu tidak perlu diperkenalkan lagi gerangan empunya diri ini. Tokoh yang sangat berjasa di dalam mendidik ummah terutama melalui penulisan. Di sini saya ingin menyifatkan bahawa Tuan Syeikh Idris adalah satu anugerah Allah yang amat tidak ternilai kepada ummat Melayu.

Dua buah air tangan beliau iaitu Bahrul Mazi dan Kamus Idris al-Marbawi merupakan penulisan yang sangat berharga dan bermutu tinggi selain daripada beberapa buah kitab lagi. Sehingga sekarang ini pun kedua-dua kitab tersebut masih digunapakai dalam pengajaran dan sebagai rujukan. Seingat saya, ketika berlajar dahulu, tidak sah dan tidak sempurna jika pelajar tidak memiliki Kamus al-Marbawi.

Tuan Syeikh Idris sememangnya seorang ulama yang penuh tawadhuk dan merendah diri. Tidak membesar diri walaupun ilmu memenuhi dada dari segi kefahamannya dalam bahasa Arab. Sebagai contoh, dapat kita lihat dalam kalam mukadimah Kamus al-Marbawi beliau menyebut:

"Walaupun bukanku itu ahlinya yang sejati"

Juga didalam mukadimah Bahrul Mazi beliau berkata:

"Adapun kemudian daripada itu, maka lebih dahulu daripada aku masuk didalam mengarang kitab ini dengan tawadhuk aku kepada Allah SWT kiranya dipohonkan kepadanya tiadalah salah menerangkan sedikit perkataan ini kepada segala saudaraku"

Diberitakan bahawa ketika kerajaan Malaysia mula memperkenalkan anugerah Tokoh Maal Hijrah, tiada tokoh lain yang dilihat layak kecuali Syeikh Idris al-Marbawi. Beliau adalah penerima Tokoh Maal Hijrah Pertama pada tahun 1987 yang diadakan di Dataran Pusat Islam.

Pihak penganjur meminta beliau menyampaikan sepatah dua kata seusai penyampaian. Beliau menolak kerana beralasan tidak tahu. Setelah diminta berkali-kali, beliau tampil juga dengan memulakan salam, mengucap puji-pujian kepada Allah dan Rasul seterusnya menutup kembali dengan salam.

Antara hadiah yang beliau terima adalah berupa wang tunai RM40,000.00. Sebahagian duit tersebut beliau gunakan untuk mengasaskan Kolej Islam al-Marbawi al-Islamipada Mac 1988.

SubhanAllah, mulianya sikap seorang ulama akhirat ini. Tidak bermegah-megah dengan pangkat dunia. Moga Tuan Syeikh Idris ditempatkan bersama para solehin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Juga Mungkin Meminati: