Bila ditanya Perlis itu dimana, ada yang berkata Perlis dengan Kedah itu sekali yer? Dan lebih dahsyat lagi ada yang tidak tahu dimana......mungkin orang ini pernah gagal kertas geografi kot.
Perlis dan Kedah tidak banyak bezanya dari segi kedudukan geografi, permukaan tanah yang landai, pertuturan, dan cara hidup masyarakatnya. Tetapi negeri Perlis mungkin mempunyai sesuatu yang tidak ada ditempat lain.
Kalau nak dibandingkan taraf kemajuan, boleh dikatakan negeri ini lambat membangun. Bandar Kangar masih lagi berstatus pekan kecil dan kelihatan seperti sesetengah bandar-bandar daerah yang lain sahaja. Namun anda tidak perlu bimbang kerana semua benda yang anda inginkan boleh didapati disini.
Kesesakan lalulintas tidak menjadi masalah. Jauh sekali untuk terperangkap dalam 'traffic jammed'. Tapi semenjak 4-5 tahun kebelakangan ini, saya dapat merasakan pertambahan bilangan kenderaan yang agak ketara, terutama pada waktu puncak (awal pagi dan petang) namun masih terkawal.
Walaupun dari segi pembangunan tidak serancak negeri-negeri lain, tetapi kami suka tinggal dalam suasana yang harmoni sebegini. Aman damai jauh dari hiruk-pikuk bandar.
Satu lagi kelebihan berada di negeri Perlis adalah masyarakatnya yang hemoi dan mengambil berat diantara satu sama lain. Suasana ini dapat dilihat lebih jelas di kampung-kampung. Boleh dikatakan seluruh pelusuk negeri Perlis masyarakatnya saling kenal-mengenali. Dan ini memanglah tidak menghairankan pun kerana Perlis negeri yang paling kecil, jadi mudahlah untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Untuk pengetahuan semua, Perlis mempunyai cuaca yang agak ekstrim. Cakap saja semua ada. Musim sejuk, panas, hujan, luruh dan musim berangin juga ada. Sebagai contoh, jika anda pergi ke Perlis pada musim sejuk (atau lebih dikenali musim timur), anda sudah tentu tidak akan mandi petang. Dan bila tiba musim panas pula, suhu boleh mencecah lebih 40 darjah celcius dan berlarutan selama 3 bulan! Hebatkan orang Perlis?
Sesungguhnya banyak lain-lain kelebihan negeri Perlis yang tidak ada di tempat lain. Jika ada sesiapa yang pernah sampai ke Perlis, cuba anda tanya mereka, "Mahu tinggal tak di Perlis?". Dan kebanyakan mereka pasti menjawab, "Ya!".
Hadis Nabi ada menyebut,"Hubbul wathan minal iman".
Saya sayang negeri saya. Perlis tetap dihati..........