Padi kebal adalah padi yang tahan kepada racun imidazolinone, digunakan untuk mengawal padi angin. Ia berasal dari varieti padi MR220 yang dimajukan. Proses kacuk balik beberapa generasi diantara MR220 dengan baka padi 1770 yang berasal dari Amerika Syarikat menghasilkan padi jenis Clearfield varieti MR220 CL1 dan MR220 CL2 yang toleran kepada imidazolinone.
Penyelidikan mengenai padi kebal dijalankan secara bersama oleh MARDI dan syarikat racun BASF. Bacaan lanjut mengenai padi kebal ini boleh dibaca di SINI.
Musim padi kali ini boleh dikatakan kebanyakan pesawah di Perlis/Kedah yang mengalami masalah padi angin menggunakan padi kebal ini. Sebenarnya pada musim lepas lagi memang sudah ada pesawah menggunakan padi ini, tetapi tidak ramai kerana bekalan benih yang terhad dan harganya pula mahal.
Ramai pesawah turut bercakap mengenai pro dan kontra mengenai padi ini. Bagi membuktikan segala dakwaan berasas, maka ramailah dari kalangan mereka ingin cuba menanam pada musim ini dengan memberi nama dan mengisi borang kepada PPK atau MADA untuk mendapatkan benih padi kebal.
Para petani perlu membeli benih padi kebal beserta racun OnDuty yang didatangkan secara pakej. Jika pokok padi dari varieti biasa misalnya MR219 terkena semburan racun rumpai ini, padi tersebut turut sama akan mati. Oleh itu proses penyemburan racun kimia ini perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak dibawa angin sehingga terkena padi sebelah yang bukan jenis Clearfield.
Panduan penggunaan di bahagian belakang guni.
Beberapa panduan dalam penggunaan benih padi kebal beserta racun ada dicatat di bahagian belakang guni bagi memudahkan rujukan petani. Ia ditulis dalam bentuk arahan yang mudah difahami oleh mereka. Misalnya,
"Pastikan air sawah cap-cap semasa menyembur"
Anda faham??
Berkenaan kesan sampingan yang mungkin timbul apabila beras di jadikan makanan, saya tidak dapat pastikan. Risau juga kalau-kalau ada petani terlebih sukatan racun daripada dos yang disyorkan.
Racun OnDuty keluaran syarikat BASF.
OnDuty adalah nama dagangan racun yang dikeluarkan oleh BASF. Racun ini berasal dari keluarga kimia imidazolinone dan terdiri dari 2 jenis bahan aktif iaitu imazapic dan imazapyr. Racun ini bertindak secara perencat Acetolactate synthase (ALS). Dalam posting berikutnya nanti Insyaallah saya akan terangkan secara ringkas apa itu ALS dan cara tindakannya......