Jumaat, 20 September 2013

Tetamu Estet

Pada kali ini, saya berkesempatan menjengah kehidupan estet. Berbetulan pula mengunjungi rakan di Ladang Tali Ayer, Divisyen Sungei Krian, Bagan Serai, Perak. Ladang ini adalah milik Sime Darby. 

Kedudukan ladang ini sebenarnya lebih rendah daripada paras sungai. Justeru ia terdedah kepada risiko air masuk yang mana akan mengakibatkan pertumbuhan pokok sawit terbantut. Bagi mengatasi masalah ini, pihak ladang telah membina ban sekatan dan mengepam air keluar setiap hari.

Bagi rakan-rakan yang mahukan lebih cabaran, saya syorkan supaya bekerja di sektor perladangan. Gaji memang lumayan. Ditambah lagi dengan rumah, orang gaji, dan tukang kebun . Cuma anda perlu bangun seawal 5 pagi serta menyiapkan kekuatan mental dan fizikal. Dan satu lagi yang paling penting adalah persediaan spiritual kerana ia adalah bekalan kita menuju hari kemudian.


Kediaman penolong pengurus (A.M) yang serba selesa. Rumah ini ada 5 bilik tidur dan 5 bilik air.

Kawasan pejabat operasi ladang dan perumahan pekerja.

 
Sedikit pemandangan sekitar ladang yang mana keseluruhan permukaannya bertanah rata.

Anak sawit baru selepas penanaman semula. 




Jazakallah


Beruntung punyai sahabat yang masih ada ingatan pada kita, walau mereka sudah berada di suatu tahap yang membanggakan. Sedangkan kita bukanlah siapa-siapa.

~Terima kasih kepada sahabat di Tali Ayer Estate & RISDA Kuala Kangsar~

Semoga Allah sentiasa memelihara kalian......


Rabu, 18 September 2013

Kagum Pada SN Usman Awang

Kadang-kadang sesuatu puisi dapat menjawab beberapa permasalahan. Sepertimana dalam sajak (Melayu) karya SN Usman Awang. Walaupun pendek dan bersahaja, tapi padat bermakna. Sajak yang indah dan kaya bunga bahasa. Tetapi sangat tajam apa yang beliau lontarkan. Sesuai untuk difikirkan dan dimuhasabah.....


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

Jumaat, 13 September 2013

Panduan Penggunaan Padi CLEARFIELD®



PERINGATAN
  • Jika air bertakung semasa menyembur, kawalan padi angin akan kurang memuaskan.
  • Air yang mengalir boleh mengurangkan keberkesanan racun.
  • Sekiranya ada sisa baki padi angin, kawal dengan memotong tangkai (roguing) padi angin yang baru terbit.
  • Elakkan padi CLEARFIELD® daripada terkacuk dengan padi angin. Ini boleh menghasilkan padi angin kebal terhadap racun OnDuty™ WG.
  • Jangan simpan hasil padi CLEARFIELD® sebagai benih.




       PANDUAN PENGGUNAAN
  1.       OnDuty™ WG perlu disembur di atas tanah pada keadaan tepu (air cap-cap).
  2.       Pastikan surfaktan (pelekat minyak gam) digunakan.
  3.       Pastikan semburan seragam.
  4.       Jangan sembur kearah sawah bersebelahan.
  5.       Habiskan semua semburan pada sawah (jangan buang sisa racun ke dalam parit).
  6.      Air boleh dimasukkan ke dalam sawah 2-3 hari selepas semburan OnDuty™ WG.
       KADAR PENGGUNAAN

           1 Hektar = 7 uncang (220g) OnDuty™ WG + 7 beg padi
    
       MASA SEMBURAN

       Sembur racun OnDuty™ WG dari 0 ke 7 hari lepas tabur benih.


       *Sumber : BASF (Malaysia) Sdn. Bhd.



Khamis, 12 September 2013

Setul dan Survival Melayu



Wilayah Setul atau Satun (สตูล) dalam ejaan bahasa Thai, dahulunya adalah sebahagian daripada empayar Kesultanan Kedah. Namun hasil dari 'kecerdikan' British dalam Perjanjian Bangkok 1909, wilayah Setul ini telah diserahkan kepada Siam.

Masa berlalu. Setul yang majoriti penduduknya adalah berbangsa Melayu-Islam masih lagi mengekalkan identiti mereka dalam beberapa aspek walaupun sedikit sebanyak telah diasimilasikan dengan budaya Siam. Misalnya, baru-baru ini saya berkesempatan menghadiri satu kenduri walimah sanak-saudara disana.


Saya agak terkejut pada mulanya mendengar perbualan sesama mereka dalam bahasa Melayu! Sungguh tidak disangka kanak-kanak peringkat sekolah rendah (agaknya) juga bertutur bahasa yang sama. Mungkin ini yang diterapkan oleh ibubapa sedari awal dirumah supaya bahasa Melayu tidak terus ditelan zaman. Loghat bahasanya juga masih mengekalkan identiti utara. Mereka sangat ramah melayan tetamu dan bangga ada saudara datang dari Malaysia. Alangkah bagusnya jika Setul sebahagian dari kita. Senang untuk berhubung sesama sanak saudara.


Mereka juga masih mengekalkan makanan tradisional Melayu seperti ulam-ulaman, sambal belacan dan gulai kawah batang pisang. Tidak seperti trend majlis kenduri di Malaysia, mereka masih mengamalkan sistem angkat hidang untuk tetamu yang datang. Terasa sangat berselera. Kalau katering, malu nak tambah. Hehe.


Uniknya lagi, nasi dibekalkan dalam dua bungkusan plastik..


Jalan-jalan Khlong Hae


Pernah dengar Pasar Terapung Khlong Hae? 
Ia sebenarnya sebuah pasar menjual pelbagai jenis makanan unik. Menariknya, jualan tersebut dijalankan atas sampan di sepanjang tebingan sungai. Apabila berlaku urusniaga dengan pembeli, peniaga akan menghulurkan makanan dari dalam sampan dengan galah panjang.

Pintu sempadan Malaysia-Thai di Wang Kelian, Perlis.

Khlong Hae Floating Market terletak di Pekan Haadyai, dalam wilayah Songkhla. Untuk ke sana, cara yang paling mudah dan dekat ialah melalui Padang Besar. Selain itu, kita juga boleh masuk melalui pintu sempadan lain seperti Wang Kelian dan Bukit Kayu Hitam tetapi agak jauh. 


Pemandangan di sekitar Pasar Terapung Khlong Hae begitu menarik. Kelihatan ramai pelajar sekolah sekitar turut mengadakan lawatan disini. Pengunjung pasar ini boleh dikatakan didominasi oleh masyarakat Islam. Bahkan juga peniaga-peniaga disini majoritinya, hampir 80% adalah Muslim. Bermacam-macam jenis makanan unik dan enak dapat disaksikan, dijual dengan harga berpatutan..............





Tapi sebagai peringatan, anda perlu tukar dahulu duit kepada matawang Baht. Kerana mereka tidak akan sekali-kali menerima duit Ringgit yang sekarang ini lebih rendah daripada matawang mereka.

Anda Juga Mungkin Meminati: