Ahad, 17 Jun 2012

Doa Kepada Sahabat

Oleh Mr Nobody: 17/6/12@1 pagi

Bukanlah tujuan aku bersahabat untuk mendapat habuan
Aku bersahabat untuk berkongsi suka duka kehidupan
Menambahkan pengetahuan pada diri
Dan sama-sama berpesan pada kebaikan

Aku bukanlah alim pada ilmu sahabatan
Yang dapat puaskan hati segala pihak
Terkadang ada perlakuan tanpa sedari
Tentu yang disana akan terkesan

Aku bersyukur
Dikurniakan sahabat seperti mereka
Walau bilangan itu sedikit

Seorang sahabat sejati
Berbicara denganku tulus dari hati
Tiada perasaan cemburu yang membunuh naluri
Kehadirannya sentiasa dinanti
Sungguh dengannya dapat mengisi  

Tiadalah apa yang aku harapkan
Melainkan kebaikan pada mereka
Akrab persahabatan ini
Bukan semata pada acap bersua-muka
Doa diutus tanda ingatan

Dapat aku merasai kemanisan itu
Moga berkekalan persahabatan kita
Hingga dipertemukan lagi disana 
Bawah payung Ilahi

Sabtu, 16 Jun 2012

Jahatnya Mereka Terhadap Umat Islam Rohingya


Siapakah itu Rohingya? Rohingya merujuk kepada sekumpulan penduduk di Myanmar (Burma) yang beragama Islam. Mereka ini mendiami sebuah negeri daripada 14 buah negeri/bahagian di Myanmar iaitu Negeri Rakhine/Rakhaing yang terletak di pesisir pantai dan bersempadan dengan Bangladesh (rujuk peta). Dahulunya Rakhine dikenali sebagai Negeri Arakan dan ia mempunyai jumlah komuniti Islam teramai di Myanmar. Masyarakat Islam Rohingya membentuk kira-kira 25% daripada populasi negeri Rakhine. Umat Islam di Myanmar adalah minoriti iaitu sebanyak 4% daripada 60,280,000 jumlah penduduk dan kebanyakan mereka datang dari Rakhine.  

Malangnya, umat Islam Rohingya ini dinafikan hak mereka sebagai rakyat oleh pemerintahan tentera junta. Mereka sentiasa ditindas dengan kejam dan dihalau dari bumi sendiri. Lebih dahsyat lagi, mereka mengalami apa yang dikatakan sebagai penghapusan etnik. Dunia seperti merestui pembunuhan ini dengan memandang sebelah mata dan menyembunyikannya dari pengetahuan umum. Mereka seolah-olah melupai kesengsaraan hidup etnik Rohingya di tanah air sendiri dan hanya memaparkan kisah pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi sahaja. Siri penghapusan etnik Islam Rohingya yang berlaku saban hari ini telah lama terjadi yang menyebabkan ramai yang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri dan akidah mereka ke negara-negara seperti Bangladesh, Thailand, Indonesia dan juga Malaysia!

Baru-baru ini, tentera junta melancarkan siri pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya yang mengakibatkan 1500 orang mati dan lebih 3000 lagi cedera. Gambar-gambar yang sangat menyayat hati boleh dilihat DI SINI . Justeru, umat Islam di Malaysia dan etnik Rohingya yang berada di negara ini mengambil inisiatif yang wajar dengan mengadakan perarakan dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur yang diketuai oleh Cikgu Azmi Abdul Hamid. Walaubagaimanapun, wakil duta Myanmar enggan membuka pagar untuk menerima memorandum tersebut. Berikut merupakan petikan ucapan daripada Cikgu Azmi:

 "Dia datang ke Malaysia, kita bagi tanah dan tempat tinggal, tiba-tiba dia layan kita macam ini. Jadi hari ini kita menuntut kerajaan kita menghalau mereka keluar dari bumi Malaysia ini, kita tidak boleh tolak ansur lagi.Mereka bunuh saudara Islam kita, orang perempuan, anak-anak kecil. "




Di Malaysia, penempatan etnik Rohingya banyak tertumpu di sekitar Lembah Kelang dan di Terengganu. Kerajaan Malaysia perlulah membuka pintu-pintu perlindungan terhadap Muslim Rohingya. Kerajaan janganlah menganggap mereka sebagai PATI tetapi anggaplah ini sebagai tanggungjawab membela saudara seagama. Malaysia sepatutnya menggunakan segala saluran diplomatik untuk mengenakan tekanan kepada kerajaan Myanmar untuk menghentikan konflik ini daripada terus menghimpit umat Islam di sana. Seluruh umat Islam di dunia seperti satu tubuh sepertimana sabda Rasulullah s.a.w , apa yang dirasai oleh umat Islam di Myanmar akan turut dirasai oleh umat Islam di sini!!!

Anda Juga Mungkin Meminati: