Rabu, 31 Oktober 2012

Padi Kebal


Padi kebal adalah padi yang tahan kepada racun imidazolinone, digunakan untuk mengawal padi angin. Ia berasal dari varieti padi MR220 yang dimajukan. Proses kacuk balik beberapa generasi diantara MR220 dengan baka padi 1770 yang berasal dari Amerika Syarikat  menghasilkan padi jenis Clearfield varieti MR220 CL1 dan MR220 CL2 yang toleran kepada  imidazolinone.

Penyelidikan mengenai padi kebal dijalankan secara bersama oleh MARDI dan syarikat racun BASF. Bacaan lanjut mengenai padi kebal ini boleh dibaca di SINI.  

Musim padi kali ini boleh dikatakan kebanyakan pesawah di Perlis/Kedah yang mengalami masalah padi angin menggunakan padi kebal ini. Sebenarnya pada musim lepas lagi memang sudah ada pesawah menggunakan padi ini, tetapi tidak ramai kerana bekalan benih yang terhad dan harganya pula mahal. 

Ramai pesawah turut bercakap mengenai pro dan kontra mengenai padi ini. Bagi membuktikan segala dakwaan berasas, maka ramailah dari kalangan mereka ingin cuba menanam pada musim ini dengan memberi nama dan mengisi borang kepada PPK atau MADA untuk mendapatkan benih padi kebal.

Bahagian hadapan karung guni. Jelas tercatat perkataan 'Clearfield' dari varieti MR220 CL2 (bukan nak promosi gambar dacing tu).

Para petani perlu membeli benih padi kebal beserta racun OnDuty yang didatangkan secara pakej. Jika pokok padi dari varieti biasa misalnya MR219 terkena semburan racun rumpai ini, padi tersebut turut sama akan mati. Oleh itu proses penyemburan racun kimia ini perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak dibawa angin sehingga terkena padi sebelah yang bukan jenis Clearfield. 

Panduan penggunaan di bahagian belakang guni.

Beberapa panduan dalam penggunaan benih padi kebal beserta racun ada dicatat di bahagian belakang guni bagi memudahkan rujukan petani. Ia ditulis dalam bentuk arahan yang mudah difahami oleh mereka. Misalnya,        

"Pastikan air sawah cap-cap semasa menyembur"

Anda faham?? 

Berkenaan kesan sampingan yang mungkin timbul apabila beras di jadikan makanan, saya tidak dapat pastikan. Risau juga kalau-kalau ada petani terlebih sukatan racun daripada dos yang disyorkan.


Racun OnDuty keluaran syarikat BASF. 

OnDuty adalah nama dagangan racun yang dikeluarkan oleh BASF. Racun ini berasal dari keluarga kimia  imidazolinone dan terdiri dari 2 jenis bahan aktif iaitu imazapic dan imazapyr.  Racun ini bertindak secara perencat Acetolactate synthase (ALS). Dalam posting berikutnya nanti Insyaallah saya akan terangkan secara ringkas apa itu ALS dan cara tindakannya......

Isnin, 29 Oktober 2012

D190:D159: D24:D99 vs D2

D190 (MDUR88)

Klon MDUR88 merupakan salah satu klon durian hibrid selain MDUR78 dan MDUR79. Klon-klon tersebut dihasilkan oleh MARDI. D190 ini terhasil dari program peningkatan kualiti dan hasil MDUR79. Kulit D190 berwarna hijau. 


D159 (Monthong/Bantai Mas)

Sepertimana dalam gambar yang saya ambil di atas, kulit durian D159 pada beberapa pokok memang berwarna kekuningan. Saya pun tidak pasti samada itu memang warna asalnya ataupun tidak. Durian klon ini banyak terdapat di kawasan utara Semenanjung kerana ia lebih tahan kepada iklim panas. Saya pernah tanam klon ini, tetapi mati kemudiannya. 

D24 (Bukit Merah)

Klon ini sangat terkenal di seluruh negara. Walaupun terdapat klon baharu seperti Musangking, D24 masih lagi mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar. Buahnya mempunyai duri yang tajam dan bersusun rapat. Buah bujur dan bersaiz agak besar. 

D99 (Kop Kecil@ Kancing Baju)

Buahnya sangat lebat jika hendak dibandingkan dengan saiz pokok yang kecil. Memang tidak padan. Tapi itulah kelebihan D99. Pokok berbuah lebat. Sebab itulah D99 sering dijadikan pokok induk (untuk dikacuk) dalam penghasilan beberapa klon baru, supaya sifat lebat dan rajin berbuahnya diturunkan kepada progeni. Buahnya kecil. 

D2 (Dato' Nina)

Buah durian D2 bulat membujur. Isinya bermutu tinggi dan berwarna ke-orengan. Saya pernah merasainya. Terbukti ia memang sedap dan lemak berkrim. Errmmmm.........sedaaaaap. Setakat ini bagi saya klon D2 adalah klon terbaik yang pernah saya rasa. Saya bagi 5 bintang ++. Tapi sayangnya orang jarang tanam klon ini kerana buahnya tidak lebat dan susah pula dibuka. Klon ini juga saya pernah tanam, tetapi mati juga akhirnya. (Maaf, gambar di atas kurang jelas kerana pokok tinggi).

Ahad, 21 Oktober 2012

Pendebungaan Durian


Bunga durian adalah nokturnal dan anthesis (berkembang) bermula pada waktu senja, mencapai kemuncak pada tengah malam dan berakhir pada waktu subuh. Debunga akan kehilangan upaya untuk bersenyawa menjelang keesokan harinya. Manakala stigma mencapai tahap puncak penerimaan debunga pada waktu malam sehinggalah awal pagi, kemudian menurun dengan mendadak ketika lewat pagi dan tengahari. Dalam keadaan semulajadi, durian didebungakan oleh agen pendebungaan nokturnal seperti kelawar kecil (Econycterus spalee dan Macroglossus minimus), lebah (Apis dorsata) dan beberapa spesis semut.

Sejurus selepas pendebungaan, seluruh struktur bunga akan gugur kecuali ovari dan filamen. Seterusnya ovari akan membesar manakala filamen menjadi kering dan buah akan terbentuk. Sebaliknya jika pendebungaan tidak berjaya, bunga akan gugur 7 hingga 10 hari selepas berkembang.  Buah durian matang 90-130 hari selepas anthesis.

#Sumber: Breeding Horticultural Crops@MARDI

Jumaat, 19 Oktober 2012

Don't care foolish people....



Sharing an idiom from Ustaz Shamsuri:
When the foolish one speaks, do not reply to him,
For better than a response (to him) is silence;
And if you speak to him you have aided him,
And if you left him (with no reply), in extreme sadness he dies!

Ahad, 14 Oktober 2012

Gambar-gambar di Sekitar Ekspo Pertanian UPM

Dekorasi pelbagai spesies orkid sangat menggiurkan.

Mr.Loy & Mr.Lun juga turut tidak ketinggalan bergambar di laman orkid.

Paintball, antara sukan lasak yang ditawarkan kepada pengunjung selain flying fox dan kayak

Memang berbaloi beli orkid ni khasnya kepada mereka yang baru nak berjinak-jinak untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi. Paling murah ada RM8.00 sepokok.

 Kultur tisu orkid

 Bergambar di hadapan pentas utama


 Jentera pertanian turut dipamerkan disini.

 Kucing Parsi yang gemuk dan malas. Disebabkan kecomelannya, dia hanya perlu makan dan tidur.

 Gerai jualan pokok yang paling mendapat sambutan (selain gerai TPU).


Pastinya pokok durian musangking ini perlu dituju terlebih dahulu.

D101 @ Mas Muar, berdaun lebat.

Serai kayu, serai yang mengalami 'mutasi gen'.

Baja cecair untuk pertumbuhan daun, akar, bunga dan buah. Harga promosi RM10.00 sebotol.

Nangka 'eMAS unTUk RAkyat" (MASTURA). 


Pelbagai info mengenai UPM dan fakulti-fakulti terdapat disini. Baik untuk dikunjungi oleh orang awam. Terutamanya bakal pelajar.  


 Ekspo dirasmikan petang semalam oleh YB Menteri Pertanian di Pentas Angsana.


 Anak lembu kacukan Frisien-Sahiwal, baka tenusu Malaysia.


Aktiviti menunggang kuda juga disediakan. Adik kecik tu rileks saja. Nak naik bayar RM5.00 dulu, baru boleh.


Sabtu, 13 Oktober 2012

Konvokesyen UPM ke-36


Tahniah kepada semua graduan UPM yang berjaya menamatkan pengajian mereka. Majlis Konvokesyen ke-36 bermula dari semalam 12/10/2012-16/10/2012.

Seperti tahun lepas juga, sempena konvokesyen tersebut Ekspo Pertanian turut diadakan bertempat di Bukit Ekspo, Taman Pertanian Universiti, UPM. Macam-macam ada. Ekspo ini terbuka kepada orang ramai.

Selasa, 9 Oktober 2012

Cantiknya Pokok Durian

Cantik bukan?

Dalam banyak-banyak pokok, pokok durianlah yang paling saya sukai. Termasuk juga buahnya. Buah durian kalau dimakan terlalu banyak akan bertambah muak. Patutlah rasanya Allah menjadikan durian buahan bermusim, tidak sepanjang tahun.

Tetapi pokok durian walaupun dipandang berkali-kali, tetap tidak jemu. Malah membuatkan saya semakin jatuh 'cinta' kepadanya. Nilai estetika yang dimiliki pokok durian menyebabkan saya membeli dan berusaha menanam beberapa klon di kebun belakang rumah.  Sehinggakan saya 'bias' terhadap pokok-pokok lain dari segi penjagaan kerana pokok durian adalah pokok yang manja.

Apa ada dengan pokok durian? Paling menarik, bagi saya, adalah pada daunnya. Daun pokok durian berbentuk lanceolate (bujur tirus), duduk bertentangan (opposite arrangement), berdaun banyak dan berwarna hijau di bahagian atas. Apabila ditiup angin, ia seolah-olah melambai dan nampak warna keperangan daun sebelah bawah. Pokok durian mempunyai kanopi berbentuk kon (klon sahaja) dan hanya membenarkan cahaya matahari yang samar-samar tembus ke bahagian dalamnya.

Kemana sahaja saya pergi, mata saya akan mudah tertangkap figura pokok durian. Sangat beruntung sesiapa yang ada menanam pokok durian di rumah mereka!!!

Anda Juga Mungkin Meminati: